-- Maafkan Amna, Abang.. --
"Abang, solatlah dulu. Dah nak habis waktu dah ni! "
Tegur Amna kepada suaminya yang leka mengadap PC. Tersentak dengan nada
suara istrinya yang sedikit tinggi, Irham terus ke bilik air. Mandi.
Berwudhu. Solat. Subuh gajah. Melayari fb membuatkan Irham leka utk
menunaikan kewajipannya biarpun dia sudah terjaga seawal jam 5.30 pagi.
Nak dikatakan dia tidak mempunyai ilmu agama, setahu Amna suaminya
adalah graduan lepasan universiti berteraskan Islam.
Andai dibandingkan ilmu dan pengetahuannya tentang Islam, Amna sedar
suaminya jauh lebih arif dari dirinya. Cuma, pada pagi itu, jarum
kelalaian syaitan begitu panjang dan tajam untuk menembusi benteng
keimanan Irham. Pandainya engkau wahai syaitan. Begitu berpegangnya
engkau pada janji2mu di hadapan Allah " Akanku hasut anak-anak Adam itu
biar mereka kan bersamaku di neraka nanti" .. Suamiku hampir tewas.
Cuma, apa yang menggusarkan Amna ialah cara dia menegur suaminya tadi.
Nada suaranya sedikit tinggi. Mungkin terlalu geram dengan keasyikkan
suaminya dan terlalu menyayanginya daripada terus hanyut bersama godaan
syaitan durjana. Biar pun tindakannya betul, namun dia tahu, meninggikan
suara kepada suami merupakan kesalahan yang tidak sepatutnya dia
lakukan. Jika terguris hati nahkodanya, pasti redha Allah tidak
diraihnya. Redha Allah untuk Isteri dari redha insan bernama suami.
Sesungguhnya, kesilapan ini membuatkan Amna tidak tenang.
"Abg, jom makan. Amna dah siapkan sarapan untuk Abang " pujuk Amna lembut setelah menyedari kelainan pada sikap suaminya.
Diam. Tiada sahutan. Sepinya Irham tanpa suara menguatkan lagi telahan
Amna bahawa hati suaminya telah dilukai. Dia tidak berputus asa.
Dijemputnya lagi suami tercinta. Buat kali kedua. Nada suaranya lebih
lembut tetapi tampak gusar. Namun, semuanya hampa. Reaksi yang sama
diterima. Seoalah-olah, ajakannya itu seumpama angin berlalu.. Layan tak
dilayan tak merugikan diri individu disapa. Dirimu sejuk nyaman namun
diriku penat meniup belaian.
Irham tidak menghiraukan Amna.
Sebaliknya dia lebih mengutamakan si manja yg baru bangun merangkak
mendapatkan papanya. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, biar pun baru
berusia hingusan jagung, Amna amat memahami sikap suaminya. Jika dia
tidak berpuas hati, dia tidak akan bersuara. Dia lebih rela untuk
berdiam diri daripada menyuarakan isi hatinya. Akan tetapi, bagi Amna
pula, seeloknya diluahkan sahaja apa yang terbuku di hati. Bawa
berbincang.. InsyaAllah, pasti ada jalan yang akan ditemui. Pasti
terurai ikatan permasalahan.
2 biji telur rebus separuh masak
dan air milo panas beransur suam. Jam di dinding pula tidak henti
berdetik menghampiri angka 7.30 pagi. Irham sudah siap untuk bergerak
menuju ke tempat kerjanya. Hari ini, dia tidak akan menyentuh hidangan
pagi yang telah disediakan oleh si dia yang telah membuatkan hati
lelakinya terasa. Dia berazam. Pengajaran harus diberikan. Sebagai
peringatan di masa akan datang.
Amna yang sedar akan
kesilapannya, berulang kali melafazkan perkataan maaf. Biarpun tiada
reaksi positif, namun dia mengharapkan sekelumit makna perkataan maaf
itu tercalit di hati suaminya agar dia tenang. Tenang melakukan kerja
rumah seharian. Dan yang lebih penting lagi tenang dari memikirkan
suaminya selamat, fokus ketika menunggang merentas jalan. Amna bimbang,
seandainya sekarang dia tidak sempat memohon keampunan, tiada lagi
peluang dan ruang kesempatan andai ditakdirkan ini adalah pertemuan
terakhirnya bersama Irham.
‘’Abang.. Maafkan Amna. Amna tahu, Amna tidak patut meninggikan suara pada Abang tadi.. Abang..’’
Suara Amna sedikit bergetar. Tanda hatinya sayu memikirkan kesalahan,
syahdu mengenangkan kekerasan Irham. Irham langsung tidak memandang
wajahnya yang semakin lama semakin hilang serinya, diruntun kesedihan
memikirkan besarnya ‘kesilapan’ yang dia lakukan. Biarpun pada
hakikatnya, dia menegur akan perkara yang haq lagi benar. Sabar Amna..
Sabar. Sesungguhnya sabar itu indah. Pujuknya sendirian.
Enjin
motosikal dihidupkan. Jaket dipakai. Sarung tangan dikemaskan dan tali
kasut diketatkan. Amna sedari tadi memerhatikan tingkah laku suaminya
semakin bungkam. Sambil membimbit beg galas suaminya, bermain-main
dibenaknya, adakah hari ini bakal dilaluinya bersama mendung di hati
tidak seperti hari sebelumnya.. Entahlah.. Jawapan itu hanya ada pada
Irham kerana dialah tuan kepada pemberian maaf.
Irham telah pun
siap. Si kecik diangkat menuju ke pintu pagar. Dibuka kuncinya. Setapak
demi setapak Irham menuju kembali ke pintu rumahnya, tempat di mana
Amna setia menanti. Amna yang dari tadi masih mengharapkan ungkapan
azimat ‘’ Abang maafkan Amna’’ keluar dari mulut Irham, seolah sudah
pudar semangatnya. Mungkin dia tidak akan dapat mendengar anganannya
menjadi kenyataan. Dia pasrah. Longgokkan mutiara-mutiara jernih yang
masih bertakung di kelopak matanya hanya menunggu masa untuk tumpah,
mengalir deras, panas lalu jatuh ke tanah.
Irham menyerahkan
anak kecil itu kepada mamanya. Tanpa memandang wajah suci isterinya itu,
dia mendekatkan bibirnya ke telinga isteri tersayang. Satu persatu
perkataan disusun agar hati kekasihnya yang telah remuk layu kembali
berbunga, mekar dan manis dipenuhi madu.
‘’Amna.. Terima kasih kerana telah menegur Abang tadi. Abang minta maaf. Abang sayangkan Amna.. ‘’
Tergamam Amna dalam senyuman. Pada masa itu juga dia merasakan pipinya
basah dan hangat. Bukan kerana air matanya tetapi kesan dari kucupan
mesra suami tercinta.
“Terima kasih Abang, Terima kasih Allah” hatinya bersuara dalam bahagia.
*Kisah ini adalah berdasarkan kisah benar yang diceritakan oleh seorang
Isteri solehah kepada kami di SIBRTS. Semoga dengan apa yang
diceritakan, dapatlah kita mengambil pengajaran untuk dijadikan teladan.
Baik bagi pihak isteri dan juga suami.
*Tahniah Puan dan
Suami. Semoga kalian berdua kan lebih matang dalam menempuh hidup
sebagai suami isteri bahagia. Cayalah.. (^_*)
No comments:
Post a Comment