Kasih Mama Terhadap Papa
(video hanyalah sebagai muzik latar kepada cerita)
Aku melabuhkan badan di atas katil yang empuk. Aku memandang gambar
yang terletak di atas meja belajar. Air hangat mulai membasahi pipiku.
Kerinduan terhadap papa terbawa hingga ke titisan air mata. Aku mencapai
foto yang terletak elok di atas meja lalu mencium potret lelaki yang
digelar papa.
Papa.. kenapa papa tinggalkan Afiya..? Kenapa papa..? Papa dah tak sayangkan Afiya lagi ke?
Kali ini, air hangat semakin laju mengalir di pipi. Entah
mengapa, kali ini hatiku sudah tidak tertahankan lagi. Aku sedih,
kecewa, marah, bermacam-macam perasaan lagi bercampur-baur dalam hati
aku. Aku sangat merindukan lelaki yang telah pergi meninggalkan aku.
Juga mama.. Kalau tidak disebabkan perempuan itu, mama dan papa tidak
akan bergaduh. Aku juga tidak seperti ini. Tapi, segala-galanya sudah
berlaku. Aku terpaksa menerima hakikat walaupun pahit ditelan.
Pada mulanya, aku tidak percaya apa yang berlaku, tetapi
setelah papa menjelaskan segala-galanya. Aku tersentak. Mama apatah
lagi. Sebaik mendengar penjelasan daripada papa, seperti ada sesuatu
yang tersekat di kerongkong mama untuk membalas kata-kata papa.
Segala-galanya bermula 20 tahun yang lepas…
“Ya! Memang! Memang I ada perempuan lain. Puas hati you?“ Kata-kata papa membuatkan mama ingin pengsan.
Aku hanya memerhatikan mereka berdua dari dalam bilik. Hati
aku benar-benar sebak. Hati ini hanya Allah yang tahu. Mama diam seribu
bahasa. Kini, apa yang telah dia jangkakan, benar.
Sekali lagi, papa bersuara.
“Kalau you tak nak kasi I kahwin lagi satu, I akan ceraikan
you!” Kata-kata papa lagi sekali membuatkan air jernih mengalir di pipi
mama.
Dengan pantas, mama menarik lengan papa.
“Tolong jangan tinggalkan I.. I mohon..”
Air jernih yang mengalir di pipi mama semakin laju. Ingin
sahaja aku mengelap air jernih di pipi mama itu. Tapi, aku tidak
sanggup. Aku tidak sanggup berhadapan dengan mereka saat-saat begini.
Jadi, aku seperti tunggul yang memerhati dan mendengar setiap kata dan
gerak-geri mereka.
Papa tidak mengendahkan kata-kata
mama. Tangan mama yang memaut lengan papa direntap kasar oleh papa. Hati
isteri mana yang tidak terluka jika dibuat begitu oleh suami sendiri.
Aku dapat rasakan, betapa pedihnya luka di hati mama pada waktu itu.
Mama terjatuh di depan pintu utama, papa memandang mama dengan wajah yang bengis.
“Mulai saat dan hari ini kau Nur Azwin binti Alias, aku ceraikan kau dengan talak satu”
Ikatan perkahwinan yang telah dibina selama 19 tahun terlerai
dengan lafaz talak papa terhadap mama. Tanpa rasa bersalah dan kesal,
papa melangkah pergi meninggalkan kami berdua. Kini rumah banglo dua
tingkat yang sudah kami diami selama 10 tahun seolah-olah kapal yang
tiada nahkoda, tiada hala tuju, tiada bahagia sejak pemergian papa
meninggalkan kami.
Mama kesal dengan sikap papa. Mama
mula berubah wajah. Air mata mula bertakung di kelopak mata mama.
Akhirnya, air mata menitis. Menitis kerana kecewa dengan sikap papa.
Aku datang menghampiri mama yang sedang meraung seperti
orang hilang akal. Aku cuba sedaya upaya untuk menenangkan mama. Aku
tidak boleh ikut menangis sama, aku harus kuat. Aku yakin, pasti ada
hikmahnya. Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui.
“Afiya.. papa dah pergi tinggalkan kita..” Mama bersuara dalam tangisan.
Sebaknya hati aku waktu itu, hanya Allah yang tahu. Air jernih
sudah mula bertakung di kelopak mataku. Tetapi, aku tahan juga. Betul
kata orang, kadang-kadang kebenaran itu menyakitkan. Tetapi,
sekurang-kurangnya mama sudah lega mendengar penjelasan dari mulut papa
sendiri daripada mendengar daripada mulut orang lain.
Benar, memang ia sangat menyakitkan. Tetapi, ia lebih menyakitkan jika
kebenaran itu disampaikan oleh orang lain. Bukan papa..
“Sabar ya mama.. ingat Allah banyak-banyak” Aku memujuk mama.
Mama memandang aku dengan wajah yang sayu, dia memeluk aku dengan erat.
Tidak ku sangka, air jernih yang bertakung di kelopak mataku
akhirnya jatuh juga membasahi pipi. Aku membalas pelukan mama.
Selepas jatuh talak, papa dan mama acap kali berurusan di
mahkamah dalam menguruskan hal perceraian. Lebih mengejutkan, semasa di
mahkamah, papa bersama seorang wanita yang tidak aku kenali. Wanita itu
berpakaian agak mencolok mata. Berbeza.. berbeza dengan penampilan mama.
Adakah papa tidak melihat yang mana satu lebih sopan? Betul kata orang,
cinta itu memang buta. Aku melihat perempuan itu dengan ekoran mata.
Sungguh, dia tidak seperti perempuan yang baik-baik. Aku semakin pelik
dengan perangai papa. Apa yang terlalu istimewa sehinggakan papa sanggup
ceraikan mama demi perempuan itu?
Astagfirullah…
Selepas dua bulan daripada peristiwa hitam itu, kami
dikhabarkan bahawa papa telah bernikah dengan wanita tersebut. Banglo
dua tingkat yang menjadi syurga kami sekeluarga sebelum ini menjadi
milik isteri baru papa. Aku dan mama dihalau keluar. Dari sini, mama
terpaksa memulakan hidup baru untuk menanggung segala perbelanjaan kami
yang sebelum ini ditanggung oleh papa. Papa lenyap tanpa berita. Dia
juga tidak pernah memberikan sebarang perbelanjaan untuk aku. Namun,
mama tabah untuk mencari sesuap nasi.
Daripada
perniagaan secara kecil-kecilan, kini semakin berkembang maju.
Alhamdulillah.. Siapa yang berusaha pasti akan berjaya. Nama mama juga
selalu terpapar di akhbar-akhbar tempatan dengan perniagaannya. Suatu
hari, semasa aku dan mama di kedai makan, kami terlihat papa dan isteri
barunya. Mereka nampak sangat mesra. Mama yang sedang makan terus hilang
selera. Air wajah mama terus berubah. Nampaknya, mama masih sayangkan
papa. Cinta mama terhadap papa masih segar tetapi papa..?
Hmm…
Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, akhirnya
mama seperti dapat melupakan papa. Sungguh, memang sukar untuk mama
melupakan papa. Tetapi, dalam hati siapa yang tahu? Mungkin mama tidak
melayan perasaannya. Pernah aku terlihat mama di dalam bilik. Dia berdoa
kepada Ilahi
“Ya Allah.. hati aku masih sayangkan
dia. Jika jodoh kami sampai disini saja, buangkanlah segala perasaan
yang ada di dalam hatiku. Tabahkanlah aku Ya Allah..”
Begitu sekali mama berdoa. Aku jadi sedih. Adakah papa masih ingat kami disini?
Satu tahun selepas perkahwinan papa dan isteri barunya, kami
dikejutkan dengan akhbar yang menyatakan bahawa papa dipenjarakan kerana
terlibat dalam rasuah. Kehidupan papa bersama isteri baru tidak
terurus. Jika papa menghadapi tekanan, dia akan mengambil minuman keras.
Papa sudah tidak tahu membezakan halal dan haram. Aku dan mama kecewa
dengan sikap papa.
Isteri baru papa pula seorang yang
pemboros dan pisau cukur. Dia sering berbelanja dengan kawan-kawannya di
pusat beli belah. Dalam masa yang sama, isteri baru papa telah berlaku
curang terhadap papa. Papa juga dijatuhkan hukuman penjara selama lapan
tahun. Kehidupan papa bertambah malang apabila dia dibebani hutang hasil
berbelanjaan isteri barunya. Isteri baru papa tidak dapat menerima papa
dengan alasan papa seorang banduan. Lalu, isteri barunya menfailkan
cerai dan mereka bercerai.
Selepas papa bebas dari
hukuman penjara, papa kembali mencari aku dan mama. Papa meminta
pertolongan Pak Ngah untuk menemukan dirinya bersama aku dan mama.
Malang tidak berbau, sewaktu papa mencari kami, papa mengalami
kemalangan jalan raya yang sangat teruk.
Kakinya lumpuh.
Papa koma selama dua minggu. Mama dan aku menjaga papa di
hospital sehingga papa sedar. Mama mengucapkan syukur. Tetapi, apa yang
menyedihkan, mama dan papa bukan lagi suami isteri. Papa dan mama hanya
boleh melihat, ingin sahaja mama memeluk papa yang dirindui nya. Papa
menangis.
“Azwin.. I minta maaf.. I sedar ini salah I..” Papa meminta maaf pada mama.
Papa memandang wajahku, dia terus memelukku.
“Afiya.. papa minta maaf selama ni papa tak ambil kisah pada Afiya.. papa menyesal..”
Papa menangis Teresak-esak. Aku turut menangis dipelukan papa.
“I nak keluar sekejap” Mama meminta izin untuk keluar.
Tiba-tiba papa bersuara “Azwin.. kalau I diberi peluang
kedua.. you boleh terima I lagi?” Mendengar ayat daripada mulut papa,
mama berhenti di depan pintu bilik wad.
Mama terkejut.
Mama memandang wajah papa yang sudah bertakung air mata di kelopak matanya.
Mama mengangguk.
“I terima you seikhlas hati I.. I dah lama maafkan you..”
Sebaik mendengar kata-kata dari mama, papa menangis.
“Tak.. you tipu.. I dah lumpur.. mana mungkin you dapat terima I
lagi..I dah tak boleh nak jalan.. I..” Belum sempat papa menghabiskan
kata-kata, mama menghampiri katil papa.
“I sanggup…”
Langit yang dulunya gelap terus menjadi cerah. Bagaikan mentari yang menyinari malam. Ya Allah.. bahagianya saat itu.
Mama dengan seikhlas hati menerima papa kembali. Papa terharu
melihat kegigihan mama yang bekerja keras untuk menyara kehidupan kami
sekeluarga. Tetapi, mama sanggup korbankan segala-galanya. Mama juga
menghantar papa ke hospital untuk berubat. Walaupun papa tidak lagi
boleh berjalan seperti dulu, kasih sayang mama terhadap aku dan papa
tidak pernah menghampakan. Kehidupan kami kembali bahagia seperti dulu
kala.
Alhamdulillah, terima kasih Allah.
No comments:
Post a Comment